masa itu ibarat pedang..


Get your own Digital Clock

Friday, December 17, 2010

walau matahari di tangan kanan...

Keadaan di kota Mekah bertambah cemas dan tegang. Pertentangan Quraisy terhadap Nabi s.a.w. dan pengikut-pengikutnya semakin hebat. Golongan Muslimin yang turut bertambah tidak mundur sedikit pun dengan pendirian mereka.
Bapa saudara Nabi s.a.w. iaitu Abu Thalib, merupakan satu-satu pembela Nabi s.a.w. dan telah  beberapa kali berjaya melindungi Nabi daripada perbuatan kasar dan keji kaum Quraisy walaupun beliau sendiri belum beriman. Beliau terus membela Nabi apatah lagi pengaruhnya sangat besar di Kota Mekah.
Suatu hari, beberapa orang ternama Quraisy datang menemui Abu Thalib dengan diiringi Abu Jahal, Abu Sufyan dan beberapa orang lagi.
“Wahai Abu Thalib! Anak saudaramu telah mencerca tuhan kami dan merendahkan agama serta memperbodohkan fikiran kami. Muhammad mengatakan nenek moyang kami sesat. Kerana itu kami harap engkau dapat menghentikan tindakannya atau engkau biarkan kami bertindak ke atasnya. Engkau dan kami bersama dalam kelainan pendapat dengan Muhammad, maka kami kira sudah cukup engkau sahaja menghadapinya.” Demikian kata mereka kepada Abu Thalib.

Dengan tenang dan lembut Abu Thalib menjawab saranan mereka itu sehingga mereka pulang dengan harapan dan mengirakan Muhammad sudah tentu akan menghentikan gerakannya.
Tetapi harapan mereka hampa kerana Nabi s.a.w. dan teman-teman baginda masih meneruskan dakwah mengembangkan Islam, menyatakan yang hak dan menolak yang bathil.
Maka bertambah-tambahlah kemarahan kaum Quraisy. Mereka terasa dipermain-mainkan dan kerana itu sekali lagi mereka menemui Abu Thalib. Pertemuan kali ini penuh dengan kata-kata ancaman.
“Wahai Abu Thalib! Usia engkau bertambah lanjut, kebesaran dan kedudukan engkau tinggi. Kami sudah meminta engkau berbuat sesuatu menghentikan Muhammad dari perbuatannya. Tetapi engkau tidak melakukannya.”
“Demi Allah, kami tidak boleh bersabar lagi melihat nenek moyang kami dicaci. Pendapat kami dipandang rendah dan tuhan kami dicela. Engkau hendaklah segera bertindak ke atas Muhammad. Kami juga akan bertindak ke atas engkau sampai salah satu di antara kita hancur.”
Setelah menyampaikan ancaman itu, mereka pun berlalu. Mereka menunggu apakah tindakan yang akan dilakukan Abu Thalib ke atas anak saudaranya itu  atau apakah ia akan terus membiarkan Muhammad berdakwah.
Sementara itu Abu Thalib menyuruh orang memanggil Nabi s.a.w. dan menyampaikan pendirian Quraisy yang mengancam itu. Beliau memahami keberatan mereka dan pada masa yang sama beliau mengasihi Muhammad. Keadaan menjadi serba salah baginya tetapi ia mesti dihadapi.
“Muhammad, kaum engkau telah mendatangi aku,” kata Abu Thalib memulakan bicara dengan Nabi s.a.w.
Lalu beliau katakana kepada Muhammad kata-kata mereka yang bersifat mengancam itu.
“Jangan engkau berati aku untuk memikul beban yang aku tidak sedia menyanggupinya,” demikian kata terakhir dari Abu Thalib.
Mendengarkan kata-kata Abu Thalib ini, Nabi s.a.w. pun mengira tentunya Abu Thalib sudah memihak kepada Quraisy. Sudah lemah dan tidak lagi membela Nabi s.a.w. Namun Baginda tidak akan berganjak sebagai Rasul Allah.
“Wahai bapa sudaraku! Demi Allah sekiranya mereka itu meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku menghentikan tugas agama ini walau Allah memenangkannya atau aku sendiri hancur, namun aku tidak akan meninggalkan tugas ini,” demikian Nabi menjawab keluhan bapa saudaranya Abu Thalib dengan rasa sedihnya.
Kemudian Nabi s.a.w. keluar meninggalkan bapa saudaranya dengan menitiskan air mata dengan penuh keharuan. Abu Thalib juga melihatkan kesedihan dan suasana yang sangat terharu sehingga beliau memanggil kembali Nabi s.a.w.
“Ke marilah, wahai Muhammad!” demikian kata Abu Thalib.
Baginda datang semula mendekati Abu Thalib.
“Wahai anak saudaraku!. Pergilah, katakanlah apa yang engkau suka, demi Allah aku tidak akan membiarkan engkau diganggu selama-lamanya.” Demikian Abu Thalib mengatakan isi hatinya.
Setelah itu Nabi s.a.w. pun meninggalkan bapa saudara Baginda dan meneruskan tugasnya sebagai Rasul sesuai dengan kata-kata tegas yang Baginda ucapkan kepada Abu Thalib tadi. Bertambah lagi ketabahannya setelah Baginda mendengar jaminan dari bapa saudaranya itu sebagai pembela yang kuat di tengah-tengah masyarakat Quraisy.

No comments:

Post a Comment