masa itu ibarat pedang..


Get your own Digital Clock

Friday, December 17, 2010

penghargaan pada anak budiman..

Di zaman Nabi s.a.w. terdapat seorang ketua Quraisy yang bernama Hussein. Beliau sangat dihormati oleh kaumnya dan dianggap pembela bangsa dan kepercayaan mereka. Hussein mempunyai seorang anak bernama Imran.
Imran telah menganuti Islam dan sering berada di majlis-majlis Rasulullah mendengarkan ajaran-ajaran Nabi tentang iman dan Islam. Imran sering kelihatan gelisah bila beliau berseorang diri kerana teringatkan bapanya yang masih musyrik.
Pada suatu hari, satu kumpulan kaum Quraisy telah datang ke rumah Hussein. Kedatangan mereka tidak diketahui oleh Imran. Maka berlakulah soal jawab:

Quraisy: “Wahai Hussein, kami datang kerana suatu hal yang amat penting.
Hussein: “Hussein hanya mengabdikan diri pada Quraisy yang dipercayainya.”
Quraisy: “Inilah yang kami harapkan selama engkau pembela Quraisy.”
Hussein: “Katakanlah apa yang kamu mahu dariku.”
Quraisy: “Engkau tentu tahu tentang Muhammad, dakwahnya berjaya menambahkan pengikutnya setiap hari, berkembang dan bertambah kuat. Mereka bersatu dan bertolong-tolongan. Keadaan ini membahayakan kepercayaan dan tuhan kita. Muhammad selalu mencela tuhan kita, membodoh-bodohkan kita. Dikatakan kita menyembah pada yang tidak boleh mendengar dan tidak berakal (berhala).”
Hussein: “Benar, aku faham semua itu.”
Quraisy: “Ini mesti ada penyelesaiannya, tidak boleh kita terus menerus berdiam diri sahaja.”
Hussein: “Apa maksud kamu. Hendak disakiti diakah? Jika ini yang dikehendaki sesungguhnya kita membuat sesuatu yang buruk saja. Sedikit pun tidak ada kesannya menahan arus yang ajaib itu.”
Quraisy: “Bukanlah begitu yang kami mahu. Rancangan kami lain iaitu kami inginkan engkau dapat berunding dengan Muhammad. Dengan cara baik dan lembut, engkau menegah dia dari terus menghina tuhan kita.”
Hussein: “Tetapi, apakah aku harus pergi seorang diri?”
Quraisy: “Tidak, kita pergi bersama, hanya kami tunggu di luar dan engkau masuk menemui Muhammad.”
Dengan itu mengertilah Hussein maksud utusan kaum Quraisy itu. Beliau akan menemui Muhammad dan tidak akan cemas terhadap pengikut Nabi, apatah lagi anaknya Imran dihormati di dalm golongan mereka.
Sampai ketikanya bertemulah Hussein dengan Nabi s.a.w. dan pertemuan itu mengejutkan dan berasa hairan pada Imran. Perlu apa bapanya menemui Rasulullah? Kenapa berani benar bapanya? Begitulah agaknya persoalan bermain di dalam hati Imran.
Sediakan tempat duduk bagi orang tua ini,” Nabi s.a.w. mengarahkan kepada sahabat-sahabatnya. Imran melihat air muka Nabi berseri-seri.
Hussein pun duduk, beliau kelihatan gembira disambut dengan baik. Pada mulanya beliau tidak menyangka akan diberi kehormatan dengan penuh kemesraan.
“Kami sudah mengetahui bahawa engkau sering mencela tuhan kami, ” berkata Hussein kepada Nabi.
Nabi s.a.w. diam dan tidak segera menjawab. Baginda berkeadaan tenang. Semua yang ada di situ memperhatikan kejadian itu.
“Berapa orangkah tuhan yang kamu sembah?” Nabi bertanya.
Tujuh orang di atas bumi ini, seorang lagi di langit,” demikian jawapan Hussein. Semua yang hadir bersungguh-sungguh mendengar percakapan mereka.
Nabi bertanya lagi.
“Bila kamu ditimpa kesusahan (musibah) siapakah yang kamu harapkan menolong kamu?”
“Tuhan yang di langit,” jawab Hussein.
“Bila harta bendamu rosak binasa, kepada siapa engkau meminta pertolongan?” tanya Nabi lagi.
“Kepada tuhan yang di langit,” jawab Hussein lagi.
“Kepadanya seorang kamu meminta pertolongan, akan tetapi kamu sekutukan dia dengan yang ada di bumi,” kata Nabi.
Hussein kelihatan resah, kehabisan kata, bimbang dan melihat itu Nabi s.a.w. dengan segera berkata lagi.
“Masuklah agama Islam wahai Hussein! Nescaya kamu akan berbahagia.”
Kata-kata Nabi yang terakhir itu telah menyejukkan hatinya dan dengan sepenuh hati beliau pun mengucapkan syahadat.
Suasana yang tadinya kelihatan tegang dan cemas bertukar serta-merta menjadi gembira setelah kejadian itu. Imran anak Hussein kegirangan dan mengucapkan syukur di atas hidayah Allah yang sudah lama beliau memikir-mikirkan dan mengharapkannya. Dalam suasana terharu, sebak di dada, Nabi s.a.w. pun berkata,
“Mengalir airmataku kegirangan kerana usaha Imran.” Nabi sememangnya mengetahui bahawa Imran sudah lama memikirkan nasib ayahnya itu.
“Tadi, aku melihat orang tua ini masuk, Imran tidak pun menyambutnya, diam dan tidak mengindahkannya. Tetapi sewaktu bapanya mengucapkan syahadat, Imran telah menunaikan kewajipan terhadap bapanya dan ini amat mengharukan hatiku.” demikian Nabi menyambung ucapannya.
“Wahai sahabat-sahabatku, tolong hantarkan orang tua ini pulang ke rumahnya.” Nabi menyeru kepada mereka kerana dilihatnya orang-orang Quraisy masih menunggu di luar.
Setelah orang-orang Quraisy melihat Hussein berubah tingkah laku, barulah mereka tahu Hussein kini telah memeluk Islam dan mereka lalu mengutuknya.
Hussein terus pulang ke rumahnya dengan diiring oleh sahabat-sahabat Nabi. Berbahagialah beliau dan anaknya.
Seorang anak yang mendalam keimanan di hati sanubarinya memang sering mengharapkan keinsafan bapanya. Beliau tidak mudah terpengaruh dengan kedudukan kekuasaan bapanya, walau betapa pun dihormati kaum Quraisy, namun bapanya tetap seorang musyrik. Beliau dan Nabi amat gembira sekali melihatkan hidayah Allah memasuki kalbu Hussein. Memang anak yang terdidik cara Islam selalu mengharapkan orang tuanya turut berbahagia. Bimbingan Nabi s.a.w. sungguh baik dan berkesan terhdap Imran, anak seorang ternama Hussein itu.

No comments:

Post a Comment