masa itu ibarat pedang..


Get your own Digital Clock

Friday, December 17, 2010

menyinsingnya fajar islam...

“Wahai manusia! Allah telah memerintahkan kepadamu supaya menyembah-Nya dan janganlah kamu menyekutukan Dia dengan sesuatu apa pun”.
Demikian Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan dakwah Islam kepada penduduk Mekah.
Baginda berkeliling mengunjungi rumah mereka berdakwah secara terang-terang setelah datang perintah dari Allah untuk berbuat demikian. Tindakan Baginda telah mengoncangkan kaum-kaum musyrikin sehingga apabila Rasulullah mendatangi rumah-rumah orang Mekah maka Abu Lahab akan mengiringinya dari belakang.

“Wahai manusia! Dia ini menyuruh kamu meninggalkan agama nenek moyangmu”. Demikian pula hasutan Abu Lahab yang menggerakkan orang ramai supaya menghalang Nabi s.a.w. daripada berdakwah.
Maka bermulalah pergolakan yang hebat di Kota Mekah.
Pemuda Quraisy berusaha dengan kekasarannya untuk membantutkan fajar Islam yang telah mula menyinar itu. Segala macam usaha dilakukan dari fitnah dan tuduhan-tuduhan liar seperti kena sihir, gila dan mengancam menginjak tengkok Nabi Muhammad s.a.w. sehinggalah mereka merancang hendak membunuh Baginda.
“Ajaklah mereka kepada : La ilaha illallah.”
Demikian Jibrail menekankan kepada Nabi s.a.w. sehingga tidak seorang manusia pun Baginda takuti.
Di tengah-tengah kekalutan ancaman Quraisy itu, Nabi s.a.w. dapat membawa beberapa orang memeluk Islam. Abu Bakar adalah di antaranya dan beliau melihat hamba-hamba yang disiksa segeralah beliau menebus dan memerdekakannya, seperti Bilal dan ‘Amir bin Fuhairah.
“Assalamu alaikum Ya! Rasulullah”, salam-salam yang diucapkan oleh batu, kayu dan tanah kepada Nabi s.a.w. sebagai suatu mukjizat. Ke mana juga Baginda pergi, maka Baginda akan menemui makhluk (alam benda) ini mengucapkan salam iaitu di saat ramai yang memusuhi Baginda atas usaha Abu Jahal, Abu Lahab dan lain-lainnya.
Di tengah-tengah kegelapan Jahiliyah ini, kini muncul cahaya Islam dan ia dinikmati oleh sebilangan orang yang sihat mata hatinya atau orang-orang yang tidak buta hati. Fajar Islam telah mula menyinsing.
Pada suatu ketika bapa saudara Nabi s.a.w. iaitu Abu Thalib melihat Baginda dengan Ali bin Thalib sedang solat (zaman sebelum Isra’), beliau merasa hairan kerana perbuatannya berlainan dengan apa yang lazim pada masyarakat Mekah waktu itu.
“Wahai Muhammad, agama apakah yang engkau anuti itu?” tanya Abu Thalib kepada anak saudaranya.
“Wahai bapa saudaraku, inilah agama (yang diturunkan) Allah, agama Malaikat dan Rasul-rasulNya; dan agama nenek kita Ibrahim a.s. Allah telah mengutuskan anakanda menjadi Rasul kepada hamba-hamba-Nya.”
“Wahai bapa saudaraku, engkau adalah orang yang paling berhak menerima nasihatku. Aku mengajak kepada petunjuk Allah; paling berhak pula memperkenankan dakwahku dan menolong aku.”
Demikian dialog Nabi s.a.w. menjawab pertanyaan beliau dengan harapan semoga beliau menerima dengan baik.
“Wahai Muhammad! Demi Allah, aku tidak sanggup untuk meninggalkan agama nenek moyangku dan ajaran-ajarannya. Tetapu demi Allah, selama aku hidup, tidak akan sampai kepada engkau apa yang engkau tidak ingini.”
Abu Thalib menjawab yang penuh ketenagan rasa dalam hati yang menolak.
Dengan sikap dan jawapan bapa saudaranya itu, sudah tentu menjadi penawar jiwa kepada Nabi s.a.w. di tengah-tengah keluarga Baginda yang memusuhinya dengan keras. Apatah lagi Ali bin Abu Thalib sebagai anak muda yang dapat pula dorongan dari ayahnya. Kepadanya Abu Thalib berpesan supaya sering mendampingi Nabi Muhammad s.a.w. walaupun beliau sendiri belum terbuka hati mengikutinya.
“Ikutilah dia (Muhammad) selalu selama dia mengajak kamu kepada yang baik”. Demikian kata anjuran Abu Thalib kepada anaknya Ali.
Dorongan itu sungguh menggembirakan Ali dan Nabi s.a.w. sendiri dan Baginda berdoa semoga Abu Thalib sendiri dapat menganuti Islam bersama-sama mereka.
Fajar Islam sudah menyinsing di Kota Mekah dan ini amat mengejutkan Jahiliah yang dalam kegelapan itu. Makin hari sinarnya makin bertambah naik menerangkan kehidupan insani. Dalam perjuangan yang penuh cabaran itu, Nabi s.a.w. mengisi kehidupannya sebagai seorang Rasulullah dan meninggalkan contoh tauladan bagi umat-umat yang kemudian.

No comments:

Post a Comment